Menu

TIMBALAN KPN RASMIKAN MESYUARAT AGUNG RESPA KALI KE-41

Cheras, 10 Jun 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay telah merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) kali ke-41 di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur (KL), di sini pagi tadi.
Ketibaan Tan Sri Ayob Khan sekitar jam 9.00 pagi disambut oleh Presiden RESPA, Dato’ Meor Chek Hussein Mahayuddin dan Komandan Maktab PDRM KL, DCP Dato' Pahlawan Shazeli Dato' Kahar.

Dalam ucapannya, Tan Sri Ayob Khan menzahirkan penghargaan terhadap RESPA yang terus aktif memperkasakan peranan pesara polis.
Beliau turut menyatakan bahawa kepimpinan RESPA telah membuka ruang untuk para pesara terus menyumbang, khususnya dalam memperkukuh barisan hadapan Pasukan selaku ‘mata dan telinga’ PDRM.

“Sebagai penerus generasi Sang Saka Biru, kami amat menghargai pandangan dan nasihat daripada para pesara agar usaha memartabatkan PDRM dapat diteruskan ke mercu kegemilangan,” ujarnya.

Tan Sri Ayob Khan turut menyeru ahli-ahli RESPA supaya mengemaskini maklumat peribadi dalam Sistem e-Pesara PDRM bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan faedah dan ganjaran daripada Kerajaan.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan dana berjumlah RM51,712, hasil kutipan daripada ahli-ahli RESPA kepada waris mangsa Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang diwakili oleh Timbalan Komander PSP, ACP Mohd Fadhli Daud sambil disaksikan oleh Tan Sri Ayob Khan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, DCP Dato’ Ts. Azizee Ismail, Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, Pasukan Gerakan Khas Bukit Aman, SAC Anuar Rosdi serta Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana Maktab PDRM KL, SAC Ahmad Adnan Basri.
Jurugambar: PDRM RMP TV









May be an image of 6 people and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS