Kuala Lumpur, 11 Jun 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay telah menjadi saksi bagi serah terima tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) dalam sebuah majlis di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim,
Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, pagi tadi.
Ia bersempena persaraan wajib Pengarah JLog, CP Dato’ Seri Sahabudin Abd Manan yang berkuatkuasa esok (12
Jun), selepas beliau menabur bakti selama 37 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terdahulu, ketibaan Tan Sri Ayob Khan bersama isteri merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Dato' Zalena Mohd Ariffin disambut oleh Timbalan Pengarah
Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, DCP Dato’ Ts. Azizee Ismail dan Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, DCP Alzafny Ahmad.
Tertib majlis dimulakan dengan acara menandatangani dan penyerahan dokumen serah terima tugas serta tongkat kuasa Pengarah JLog antara Dato' Seri Sahabudin dengan Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) JLog Bukit Aman, DCP Gilberd Philip Layang yang kini memangku jawatan tersebut.
Turut berlangsung ialah serah terima tugas Pengerusi PERKEP JLog oleh Datin Seri Nor Aidila Abdul Majid kepada pemangkunya, Puan Siti Manau dengan disaksikan oleh Puan Sri Dato' Zalena.
Berucap dalam majlis itu, Tan Sri Ayob Khan menyifatkan Dato’ Seri Sahabudin sebagai seorang pemimpin teknokrat berwibawa yang memainkan peranan penting dalam memodenkan sistem logistik dan teknologi PDRM serta memperkasa kesiapsiagaan Pasukan secara menyeluruh.
"Hari ini Pasukan perlu melepaskan seorang lagi pegawai kanan polis yang berkredibiliti tinggi, pelengkap barisan kepimpinan tertinggi Pasukan, iaitu Dato’ Seri Sahabudin. Beliau telah mengemudi JLog dengan penuh komited dan berintegriti selama hampir empat tahun sejak 5 Julai 2021,” ujar beliau.
Tan Sri Ayob Khan Majlis turut menyampaikan sijil perkhidmatan kepada Dato’ Seri Sahabudin dan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan.
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM, Ketua
Polis Selangor , CP Dato’ Hussein Omar Khan, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, para pegawai kanan, ahli-ahli PERKEP dan rakan media.
Sebagai penghormatan tertinggi Pasukan, Majlis Paluan Berundur kepada Dato' Seri Sahabudin akan diadakan di Dataran Kawad, PULAPOL Kuala Lumpur pada petang ini.