Kuala Lumpur, 11 Jun 2025 – Selepas 37 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog), CP Dato’ Seri Sahabudin Abd Manan diraikan dalam Majlis Paluan Berundur yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL)
Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis yang bermula sekitar jam 5.00 petang dimulakan dengan ketibaan Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay bersama isteri merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) Malaysia, Puan Sri Dato’ Zalena Mohd Ariffin. Ketibaan mereka disambut dengan Hormat Panglima oleh
Pancaragam Pusat PDRM yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Muzik PDRM, DSP Mesmoro Edward.
Menelusuri perjalanan kerjaya yang bermula pada 5 Jun 1988 sebagai Kadet ASP, Dato’ Seri Sahabudin telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap teknologi dan logistik PDRM.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik dari University of Pacific, Amerika Syarikat dan Jurutera Penyelenggaraan Pesawat Bertauliah. Kepakaran teknikal dan strategi beliau menjadi tunjang utama kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif berskala besar di peringkat jabatan serta Pasukan.
Antara sumbangan besar beliau kepada Pasukan ialah pembangunan Sistem Lokap Pintar (SMART Lokap), hasil kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi penyelidikan, MIMOS Berhad iaitu sebuah institut penyelidikan dan pembangunan strategik negara.
Sistem berasaskan analitik video pintar itu direka untuk mengesan tingkah laku agresif, cubaan melarikan diri serta aktiviti mencurigakan di dalam lokap. Pelaksanaannya telah berjaya menurunkan kadar insiden keselamatan di pusat tahanan PDRM.
Lebih membanggakan, SMART Lokap turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi Anugerah Inovasi Perusahaan Asia Pasifik 2015 sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia pada tahun 2016.
Selain cemerlang dalam perkhidmatan, Dato’ Seri Sahabudin turut aktif dalam bidang korporat sebagai Pengerusi KOP Mantap Berhad yang merupakan anak syarikat
Koperasi PDRM.
Dalam majlis tadi, beliau turut diberi penghormatan sebagai "guest conductor" bagi memimpin Pancaragam Pusat PDRM dengan membawakan lagu “Speak Softly Love”.
Majlis perbarisan perpisahan diakhiri dengan deklamasi sajak bertajuk “Jasamu Dikenang” yang disampaikan khas oleh Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat
Polis Daerah Hulu Selangor, Inspektor Kamarudin Siratang.
Sebagai penutup majlis, Dato’ Seri Sahabudin bersama isteri dan ahli keluarga dibawa menaiki kenderaan istiadat ke Balai Pengawal untuk menandatangani buku pelawat sebelum beredar meninggalkan majlis.
Turut hadir, barisan Pengarah PDRM, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur DCP Alzafny Ahmad, Setiausaha Polis Malaysia SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, pegawai-pegawai kanan PDRM serta ahli-ahli PERKEP.