Menu

TAN SRI RAZARUDIN, PEMIMPIN DEKAT DI HATI WARGA SANG SAKA BIRU

 
Kuala Lumpur, 20 Jun 2025 – Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur petang tadi menjadi saksi detik bersejarah apabila ribuan warga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir menyaksikan Perbarisan Persaraan dan Paluan Berundur Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain, sebagai penghormatan terakhir kepada pemimpin nombor satu Sang Saka Biru, di sini.
 
Tan Sri Razarudin merupakan pemimpin berjiwa besar yang sentiasa dekat di hati warga Pasukan. Beliau dikenang sebagai ketua yang tidak pernah meletakkan jarak antara dirinya dengan warga kerjanya, sentiasa menyantuni, merendah diri dan sedia turun padang dalam apa jua keadaan.

Bekas graduan Sarjana Sains Sosial dalam bidang Pengajian Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini diibaratkan seperti sebutir kejora yang menerangi landasan perjuangan Sang Saka Biru dan sinarnya turut menyuluhi hala tuju Pasukan keramat.
Sepanjang 42 tahun perkhidmatan, beliau telah menjawat pelbagai jawatan strategik termasuk dalam bidang siasatan jenayah, narkotik, pengurusan kontinjen negeri serta pasukan elit khas namun kekal sebagai pemimpin yang sederhana, berprinsip dan sentiasa menjiwai denyut nadi warga PDRM.

Bersandarkan nawaitu dan berbekalkan pengalaman yang cemerlang, Tan Sri Razarudin sentiasa mengajak warga Pasukan untuk terus berkhidmat dengan ikhlas, menjunjung amanah dengan penuh integriti serta mengukuhkan semangat "esprit de corps" di antara satu sama lain.

Dua fokus utama yang diperkenalkan oleh beliau sejak menerajui PDRM iaitu perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat merupakan lambang kepada ketegasan dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia yang sentiasa dijunjung tinggi oleh setiap lapisan warga PDRM.

Tan Sri Razarudin Husain telah meninggalkan legasi kepimpinan yang bukan sahaja menjulang prestasi PDRM, tetapi menyuburkan ekosistem tata kelola yang kukuh, beretika dan berkesan.

Majlis yang berlangsung bermula jam 5.00 petang itu disusun penuh tertib dengan dimulai perarakan Panji-panji Utama, Panji-Panji Batalion dan Panji-panji Unit serta lintas hormat pesawat Pasukan Gerakan Udara ketika nyanyian lagu kebangsaan ‘Negaraku’.

Sorotan majlis turut memperlihatkan detik pemeriksaan perbarisan oleh Tan Sri Razarudin menggunakan kenderaan istiadat diikuti persembahan pancaragam PDRM yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Muzik PDRM, DSP Mesmoro Edward dan deklamasi sajak bertajuk “Di Sini Setiamu Terukir” yang disampaikan khas oleh Sub Inspektor Yusuf Ramji dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara sebagai penghormatan buat beliau.

Majlis diakhiri dengan upacara simbolik “Beating Retreat” sekitar jam 6.00 petang. Beliau kemudiannya dibawa menaiki kenderaan istiadat bersama isteri tercinta, Puan Sri Datuk Zainah binti Othman ke Balai Pengawal untuk menandatangani Buku Pelawat sebelum meninggalkan medan perkhidmatan dengan penuh tabik penghormatan warga Pasukan.

Terdahulu pada sebelah tengah hari, Tan Sri Razarudin berkesempatan menunaikan solat Jumaat bersama-sama barisan Pengarah serta lebih 500 jemaah yang terdiri daripada para pelatih Inspektor dan Konstabel Program Latihan Asas Kepolisan, warga PULAPOL dan kariah sekitar di Masjid Sallehin, PULAPOL Kuala Lumpur. Ketibaan beliau disambut oleh komandannya, DCP Alzafny Ahmad.

Seusai itu, Tan Sri Razarudin telah dibawa ke Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, PULAPOL Kuala Lumpur bagi menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Jawatan KPN, di sini.

Tan Sri Razarudin telah menyerahkan jawatan nombor satu dalam PDRM itu kepada penggantinya, IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail yang akan meneruskan legasi kecemerlangan PDRM untuk memimpin Pasukan ke tahap yang lebih tinggi. Penyerahan tampuk kepimpinan Pasukan itu disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mewakili pihak Kerajaan.

Turut berlangsung Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia di antara Puan Sri Datuk Zainah Othman dengan penyandang baharu, Datin Sri Hjh. Munirah Che Rose sambil disaksikan oleh Datin Seri Norhayati Musa merangkap Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kedua-dua majlis tadi turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Rasmi PDRM bagi membolehkan seluruh Pasukan dan rakyat Malaysia mengikuti detik bersejarah ini.

Hadir sama dalam majlis tadi ialah Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Awang Alik Jeman, Timbalan KPN, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan isteri merangkap Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Dato’ Zalena Ariffin, barisan Timbalan KSU KDN, barisan Pengarah PDRM serta isteri, barisan Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri bersama isteri, barisan pegawai kanan KDN dan Suruhanjaya Pasukan Polis, pegawai-pegawai kanan PDRM, ahli-ahli PERKEP serta rakan media.

Buat Tan Sri Razarudin, nilai integriti, disiplin dan kesederhanaan yang Tan Sri semaikan akan kekal menjadi panduan dan pedoman buat seluruh warga Pasukan dalam meneruskan amanah menjaga keamanan negara.

Selamat bersara dan semoga menikmati masa istirehat yang bermakna bersama keluarga tersayang, IG Tan Sri Razarudin Husain dan Puan Sri Datuk Zainah Othman!

Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery, Lans Koperal Khairunisa Ibrahim dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.

May be an image of 2 people, dais and text

May be an image of 5 people and text

May be an image of 4 people, dais and text

May be an image of 5 people and text

May be an image of 2 people, headscarf, dais and text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS