Kuala Lumpur, 25 Jun 2025 – Sepanjang menerajui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) selama empat tahun, CP Dato’ Sri Azri Ahmad berjaya membentuk sebuah kepimpinan berteraskan integriti dan strategi yang utuh, sekali gus menjadikan beliau antara figura penting dalam pembudayaan tadbir urus beretika dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Di bawah kepimpinannya, beliau juga telah melaksanakan Pelan Antirasuah PDRM dan memperkenal pelbagai reformasi pematuhan dalam lapisan organisasi demi memastikan Pasukan kekal relevan dalam menjaga keselamatan awam serta mendapat kepercayaan penuh oleh masyarakat.
Meskipun banyak lagi pembaharuan yang ingin dilaksanakan, namun seluruh warga Pasukan harus akur melepaskan Dato' Sri Azri yang bakal menjalani persaraan wajib selepas 37 tahun menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara.
Majlis Paluan Berundur sempena persaraan beliau telah berlangsung penuh istiadat di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur petang tadi, menghimpunkan kepimpinan tertinggi dan warga PDRM sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar beliau sepanjang lebih tiga dekad dalam Pasukan.
Ketibaan Dato' Sri Azri bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JIPS, Datin Sri Norliah Hj. Othman disambut mesra Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dengan timbalannya, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Menyingkap kembali perjalanan karier anak jati Kuala Lumpur, Dato' Sri Azri mula menyertai PDRM sebagai Kadet ASP pada 5 Jun 1988 dan berkelulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tulsa, Amerika Syarikat.
Beliau turut mengikuti latihan profesional di Harvard Business School dan International Law Enforcement Academy Bangkok serta pernah berkhidmat di Kementerian Pertahanan Malaysia sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Industri Pertahanan.
Antara kejayaan besar lain sepanjang kerjayanya termasuklah pelaksanaan Program Penswastaan Pengurusan Kenderaan Pasukan, penggubalan dasar Agenda Go Green PDRM dan peranan aktif dalam penyelarasan keselamatan semasa pandemik COVID-19.
Sementara itu, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid dalam ucapannya menyifatkan persaraan Dato’ Sri Azri sebagai satu kehilangan besar buat Pasukan, namun turut mengangkatnya sebagai contoh kepimpinan berteraskan integriti dan strategi jangka panjang.
“Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan yang ditaburkan tidak akan luput ditelan waktu, malahan terus menjadi inspirasi dalam membentuk kekuatan dan kelestarian Pasukan, seterusnya menjadi legasi berharga buat PDRM,” ujar beliau.
Dalam majlis yang berlangsung selama sejam tadi, Dato' Sri Azri telah diberi penghormatan oleh Pasukan untuk menjadi "guest conductor" bagi memimpin Pancaragam Pusat PDRM yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Muzik PDRM, DSP Mesmoro Edward dengan membawa lagu "My Way".
Terdahulu, bertempat di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim telah diadakan majlis pemakaian pangkat kepada CP Dato’ Rusdi Mohd Isa yang memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan CP Datuk Hamzah Hj. Ahmad yang dilantik sebagai Pengarah JIPS.
Pemakaian pangkat Komisioner Polis turut disematkan kepada CP Tuan Gilberd Philip Layang yang kini memegang tampuk Jabatan Logistik dan Teknologi.
Majlis diteruskan dengan pertukaran dokumen serah terima tugas jawatan Pengarah JSJK daripada pemangkunya, CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah Ali kepada penggantinya, Dato’ Rusdi serta jawatan Pengarah JIPS daripada Dato’ Sri Azri kepada penggantinya, Datuk Hamzah, disusuli penyerahan tongkat kuasa yang disaksikan oleh Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid.
Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP JSJK di antara Datin Sri Rosmariza Dato’ Hj. Che Omar yang sebelum ini memangku tugas tersebut dan diserahkan kepada Datin Zuraini Abd Razak serta jawatan Pengerusi JIPS, Datin Sri Norliah dengan penyandang baharu, Datin Hjh. Sulastri Fethihana Swanto sambil disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Sri Hjh. Munirah Che Rose.
Tiga pegawai kanan lain yang turut menerima pemakaian pangkat ialah DCP Redzuan Abdul Hamid yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi), JLog Bukit Aman, DCP Mohd Rozi Jidin sebagai Timbalan Pengarah (Kawalan Lalulintas/Pengurusan Saman), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman serta SAC Nordin Md Nor sebagai Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat), JLog Bukit Aman.
Hadir sama, Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Abdul Aziz Abdul Majid, barisan Pengarah PDRM, barisan pegawai kanan PDRM, ahli-ahli PERKEP serta rakan-rakan media.
Legasi Dato’ Sri dalam membina integriti dan strategi pengurusan yang unggul akan sentiasa menjadi pedoman warga PDRM.
Selamat bersara Dato’ Sri Azri Hj. Ahmad! Semoga Dato' Sri menjalani tempoh persaraan dengan penuh bahagia bersama Datin Sri dan seluruh keluarga tercinta.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Muhammad Syafiq Abu Bakar dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.



