Kuala Lumpur, 27 Jun 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail telah menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M anjuran
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa
Malaysia, di sini pagi tadi.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,
Sultan Ibrahim bersama Yang Amat Mulia Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut oleh Perdana Menteri, Dato' Seri
Anwar Ibrahim bersama timbalannnya merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi.
Polis Diraja Malaysia turut memeriahkan majlis sambutan dengan penyertaan seramai 17 warga kerja dari pelbagai jabatan dan bahagian, sebagai tanda sokongan padu terhadap agenda perpaduan ummah serta penghayatan semangat Maal Hijrah.
Majlis tadi dimulakan dengan bacaan doa oleh
Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Hj. Ahmad Fauwaz Fadzil, disusuli dengan Tausiyah Khas Maal Hijrah oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dato' Dr. Hj. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Seterusnya, sembah ucapan aluan oleh Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im Hj. Mokhtar sebelum Titah Diraja disempurnakan oleh Sultan Ibrahim di hadapan lebih 8,000 tetamu yang hadir.
Tema sambutan pada tahun ini iaitu “Membangun Ummah MADANI”, menyeru umat Islam untuk meneladani semangat hijrah Rasulullah SAW dalam membentuk masyarakat bertamadun, inklusif dan seimbang dari sudut rohani dan jasmani.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1447H/2025M kepada Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Dato’ Dr. Hj. Nooh Gadot, manakala Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, H.E. Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.
Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' (Dr.)
Johari Abdul, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri
Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri
Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz, Peguam Negara, Dato’ Mohd Dusuki Mokhtar serta ketua-ketua jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan, negeri dan wakil kenamaan luar negara.