Putrajaya, 16 Julai 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjadi penganjur bersama Perhimpunan Bulanan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi bulan Julai yang berlangsung di Dewan Gemilang, Setia Perkasa 1, Kompleks Setia Perkasa, di sini pagi tadi.
Majlis perhimpunan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay mewakili Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail.
Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman, diikuti dengan amanat khas oleh MDN.
Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan senaskah Buku Eksekutif Indeks Keselamatan Sempadan Negara (IKSN) yang merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuhkan pengukuran tahap keselamatan sempadan negara. Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution, IKSN merupakan satu mekanisme komprehensif yang membabitkan 12 isu jenayah rentas sempadan, hasil kolaborasi penyelidikan antara Institut Keselamatan Awam Malaysia, KDN dan Universiti Teknologi MARA sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.
Sebanyak 58 indikator dan 176 pemberat telah dibangunkan dalam kerangka IKSN bagi menghasilkan skor tahunan, berdasarkan data yang diperoleh daripada 31 agensi kerajaan di seluruh negara. IKSN telah mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk daripada New York University, China Foreign Affairs University dan Beijing Foreign Studies University.
Datuk Seri Saifuddin Nasution menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan pembangunan IKSN yang dianggap sebagai satu penanda aras strategik dalam merangka pelan keselamatan negara dan sebagai contoh “whole of government approach” yang efektif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, para hadirin dipersembahkan dengan tayangan video pertukaran keluar masuk pegawai KDN serta rangkuman aktiviti dan pencapaian KDN sepanjang Jun 2025.
Turut hadir, Timbalan MDN, Datuk Seri Dr.
Shamsul Anuar Hj. Nasarah, barisan Timbalan Ketua Setiausaha KDN, pengarah-pengarah jabatan serta ketua-ketua agensi di bawah KDN, termasuk barisan pengurusan tertinggi PDRM.