Kuala Lumpur, 22 Julai 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay, telah mengiringi Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail, dalam satu lawatan kerja ke Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11),
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang terletak di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, petang tadi.
Ketibaan Datuk Seri Saifuddin sekitar jam 2.00 petang disambut oleh Tan Sri Ayob Khan bersama Pemangku Pengarah JSJ, DCP Dato’ Fadil Marsus, dan Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, DCP Datuk Mohamad Zainal Hj. Abdullah sebelum dibawa menandatangani buku pelawat.
Lawatan yang berlangsung kira-kira dua jam itu merangkumi sesi taklimat yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian D11, JSJ Bukit Aman, SAC Siti Kamsiah Hassan. Taklimat tersebut meliputi aspek tenaga kerja, statistik siasatan kes, ancaman jenayah semasa, pencapaian bahagian, cabaran semasa serta hala tuju strategik D11 dalam menangani jenayah seksual, wanita dan kanak-kanak.
Turut diadakan lawatan ke ruang operasi Bahagian D11, termasuk tinjauan ke Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (MICAC), bagi memberi gambaran lebih dekat mengenai proses siasatan serta kesiapsiagaan pasukan dalam menangani jenayah berasaskan teknologi dan eksploitasi kanak-kanak.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Datuk Zulkifli Abidin, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah, KPP Bahagian Kepolisan Kawalan Dalaman (D1), SAC Afzanizar Ahmad, KPP Urus Setia JSJ Bukit Aman, SAC Noor Azmi Yusoff serta barisan delegasi KDN.