Kuala Lumpur, 14 Ogos 2025 -
Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkarkan stor sementara bagi menempatkan minuman keras pelbagai jenis tidak bercukai di Shah Alam, Selangor dengan penahanan tiga individu membabitkan rampasan lebih RM1 juta, kelmarin.
Timbalan Pengarah PGA
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Bukit Aman, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, satu Operasi Bersepadu Intra/Inter
Agensi dijalankan di sebuah premis yang disyaki dijadikan stor sementara bagi menempatkan minuman keras bir pelbagai jenis tidak bercukai di Shah Alam, Selangor.
Menurutnya, operasi ini diketuai oleh Cawangan Pengoperasian Ibu Pejabat PGA Bukit Aman bersama Risik Briged Tengah PGA Polis Diraja Malaysia serta dibantu oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Polis Shah Alam dan Majlis Bandaraya Shah Alam.
“Menerusi operasi itu, tiga orang terdiri dua warga tempatan berusia 38 dan 63 tahun serta seorang warga Myanmar berusia 29 tahun ditahan.
“Turut dirampas sebuah lori 10 tan, anak kunci, 57,816 tin arak dan empat telefon bimbit dengan nilai rampasan RM 1,232,966.72,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti di lampiran.