Bukit Kayu Hitam, 18 Ogos 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay mengadakan lawatan kerja sempena Op Taring Wawasan Kedah dan Perlis di sini, semalam.
Ketibaan Tan Sri Ayob Khan di Kompeni C,
Batalion 1 PGA disambut oleh Komander
Briged Utara PGA, SAC Shahrum Hashim yang kemudiannya mengiringi beliau ke bilik mesyuarat bagi mendengar taklimat operasi.
Selesai taklimat, Tan Sri Ayob Khan meluangkan masa beramah mesra dengan warga batalion sebelum melakukan pemantauan udara menggunakan helikopter milik
Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia.
Pemantauan tersebut bertujuan meninjau pelaksanaan Keselamatan dan Pembangunan Sempadan Malaysia-Thailand (KESBAN) di kawasan kawalan PGA yang bersempadan dengan negara jiran.
Program diteruskan dengan lawatan ke Pos BKC 7 PGA bagi menilai tahap kesiapsiagaan anggota dalam penugasan kawalan keselamatan.
Hadir sama, Ketua
Polis Perlis, DCP Dato' Muhammad Abdul Halim bersama timbalannya, SAC Mohd Ismail Ibrahim.
Tan Sri Ayob Khan turut melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar bagi meninjau Bilik Kawalan Border Surveillance System (BSS) serta mendengar taklimat berkaitan fungsi sistem pengoperasian BSS oleh Komander Kompeni C,
Batalion 2 PGA Padang Besar, ASP Mior Abdul Khalil Abdul Azid.
Terdahulu, Tan Sri Ayob Khan menghadiri sesi taklimat MPV URB Monitoring System (MUMS) yang diadakan di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah
Kota Setar, Alor Setar, Kedah.
Secara ringkas, MUMS merupakan projek perintis yang membolehkan penugasan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) dipantau secara masa nyata (real time) serta diselaraskan dengan Pusat Kawalan Daerah (District Control Centre – DCC) bagi meningkatkan lagi keberkesanan operasi di lapangan.
Hadir sama ialah Ketua Penolong Pengarah Operasi Pencegahan/Analisa Pendataan JPJKK Bukit Aman, SAC Imran Abdul Rahman, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad serta barisan ketua jabatan dan daerah.