Ia merupakan kesinambungan daripada penganjuran PDRM Special Dialogue 2024 yang diadakan pada Mac dan Ogos tahun lalu oleh Jabatan
Pengurusan dan
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik. Program yang diadakan menjadi platform keselamatan nasional berprestij yang menghimpunkan pemimpin, pembuat dasar serta agensi penguatkuasaan bagi membincangkan cabaran semasa berkaitan jenayah dalam usaha membanteras jenayah komersil dan siber secara holistik.
Penutupan program telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail petang tadi yang turut menjadi panel khas dalam sesi dialog Cybercrime Ministerial Forum bertajuk 'Cybercrime In Malaysia: Challenges and Collaboratives Solutions' bersama tiga panel jemputan lain termasuk Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Puan Teo Nie Ching.
Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam ucapannya menegaskan bahawa usaha membanteras jenayah siber tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan, sebaliknya turut melibatkan strategi jangka panjang, kerjasama serantau serta kolaborasi antara sektor awam dan swasta. Melalui teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) akan menjadi antara langkah ke hadapan dalam memperkukuh keberkesanan polis menangani jenayah siber.
“Peranan JSJK sebagai benteng utama jenayah komersil juga perlu terus diperkasa kerana ia bukan sahaja melindungi ekonomi negara, malah meningkatkan keyakinan rakyat,” katanya.
Terdahulu pada sebelah paginya telah berlangsung majlis perasmian yang disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail yang turut dihadiri oleh Pengarah JSJK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Rusdi Mohd Isa dan Pengarah Eksekutif AlS, Encik Muhd Aqlan Pacleb.
Para tetamu yang hadir turut berpeluang mendengar sesi dialog bertajuk 'Cybercrime in the Malaysia Landscape: Policies, Perspectives and Pathways' yang disampaikan oleh empat panel daripada pelbagai latar belakang dan dikendalikan oleh Pesara Polis, DCP Dato’ Dr. Lim Joo Soon yang merupakan bekas Timbalan Pengarah (Jenayah Siber) JSJK Bukit Aman yang bertindak sebagai moderator.
Hadir sama, Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, barisan Pengarah PDRM, para Pegawai KPDRM dan rakan-rakan media.
Jurugambar: Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri dan Konstabel Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi