Kuala Lumpur, 11 September 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) telah berjaya merealisasikan Projek Pembangunan Komunikasi Satelit X-Band. Projek ini menjadi mercu tanda baharu dalam keupayaan PDRM untuk memastikan kesinambungan komunikasi, khususnya ketika menghadapi situasi bencana, operasi di kawasan pedalaman dan sempadan, serta ketika rangkaian awam terganggu.
Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dalam Perhimpunan Bulanan KPN bagi bulan September 2025 anjuran JLog Bukit Aman, di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Beliau memaklumkan bahawa Projek Satelit X-Band yang mula dibangunkan pada 1 Januari 2022 dan siap sepenuhnya pada 31 Disember 2024. Sistem tersebut dipasang dalam sebuah bas khas yang dilengkapi dengan pusat kawalan, capaian data serta kemudahan komunikasi masa nyata (real time).
“Satelit X-Band membolehkan penyelarasan operasi dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan efisien sebagai ‘force multiplier’ kepada PDRM bagi meningkatkan keberkesanan tugas di lapangan”, ujar beliau.
Dalam pada itu, Dato' Sri Hj. Mohd Khalid turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 20 orang pegawai polis dan pegawai awam dari semua jabatan sebagai menghargai warga Pasukan yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang perkhidmatan.
Hadir sama dalam perhimpunan tadi ialah Timbalan KPN, DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay dan barisan Pengarah serta Timbalan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Nurkhairunisa Ibrahim