Subang Jaya, 14 September 2025 – Tema 'Leading with Wisdom, Serving with Dignity' mengangkat kewibawaan Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail memimpin Pasukan Sang Saka Biru dalam Malam Mes “Dining In” yang berlangsung penuh istiadat di Grand Lagoon Ballroom,
Sunway Resort Hotel, semalam.
Majlis anjuran Mes Pegawai Kanan ini diadakan bersempena pelantikan beliau sebagai KPN ke-15 pada 20 Jun lalu sekali gus memegang tampuk kepimpinan Mes Pegawai Kanan sebagai Yang Dipertua Mes baharu.
Tema tersebut juga dipilih sebagai suntikan semangat dan pengukuhan keyakinan Dato' Sri untuk terus berdiri teguh dalam menyempurnakan amanah memimpin Pasukan ke arah visi sebagai peneraju keselamatan demi mengekalkan Malaysia yang aman serta selamat.
Berucap dalam majlis berkenaan, Timbalan KPN merangkap Timbalan Yang Dipertua Mes, DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay menyatakan seluruh warga Pasukan turut menzahirkan komitmen penuh untuk mendukung Fokus KPN dengan penuh kesungguhan demi merealisasikan hala tuju yang telah ditetapkan.
Dalam ucapan balas Dato' Sri Hj. Mohd Khalid menyeru agar segenap peringkat pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat memperkukuh penyelarasan gerak kerja dan kesepakatan dalam melaksanakan strategi pengukuhan serta penambahbaikan selaras dengan Fokus KPN demi menjamin keamanan dan kedaulatan negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan tertinggi dan seluruh warga Pasukan atas iltizam serta semangat perjuangan yang kian mencabar.
Terdahulu bagi memeriahkan majlis, para hadirin telah dipertontonkan dengan beberapa tayangan video antaranya kemudahan mes-mes pegawai kanan di lima buah negeri (Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Perlis) serta perjalanan kerjaya Dato' Sri Hj. Mohd Khalid di dalam Pasukan sehingga dilantik sebagai KPN.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) Malaysia, Datin Sri Datuk Hjh. Munirah Che Rose, Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Dato’ Zalena Mohd Ariffin, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak, barisan Ketua Polis Negeri, DCP Pentadbiran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman merangkap Naib Yang Dipertua Mes PDRM, DCP Dato’ Fadzil Ahmat bersama isteri, Datin Norsiah Wakiban serta pegawai kanan PDRM.