Bangi, 30 September 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay tampil sebagai panel jemputan dalam Sesi Bersama Alumni Tersohor
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): Ilmu, Mutu dan Budi yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM, di sini malam tadi sempena Minggu Apresiasi Watan (MAW) Sesi 2025/2026.
Forum tersebut turut menampilkan Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Cell Biopeutics Resources Sdn. Bhd., Dr. Jezamine Lim serta Aktivis Belia dan Pengerusi Global Youth Parliament ASEAN & Malaysia Chapter, Encik Arvend Applasamy. Moderator pula dikendalikan oleh Editor Kanan merangkap Penerbit Eksekutif
Astro AWANI, Tuan Hj. Nazri Kahar.
Dalam perkongsian hampir dua jam, Tan Sri Ayob Khan mengimbau pengalaman menuntut ilmu di UKM yang telah membentuk jati diri serta semangat kepimpinan, sekali gus menjadi landasan kepada pencapaian beliau sebagai salah seorang pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau menegaskan bahawa alam kampus bukan sahaja tempat menimba ilmu, malah medan penting membina sahsiah, disiplin dan daya tahan. Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar menikmati pengalaman di universiti tanpa mengabaikan momentum selepas bergelar graduan, kerana dunia pekerjaan penuh dengan cabaran sebenar yang menuntut ketahanan mental, kesungguhan dan kejujuran dalam setiap langkah.
Forum turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Profesor Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Ketua
Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof, Superintenden Komunikasi Korporat PDRM, Superintenden William Nobes serta barisan pegawai kanan polis.