Padang Besar, 29 September 2025 – Peringkat Kedua perlumbaan berprestij
Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 bermula pagi tadi di Padang Besar, Perlis sebelum menamatkan kayuhan di Kepala Batas, Pulau Pinang dengan jarak keseluruhan sejauh 166.1 kilometer (km).
Acara pelepasan telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Jalan Padang Besar dalam suasana penuh meriah, sekali gus menandakan bermulanya cabaran sengit peringkat kedua kejohanan berbasikal bertaraf antarabangsa ini.
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bertanggungjawab memastikan kelancaran lalu lintas serta keselamatan sepanjang laluan perlumbaan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman), DCP Mohd Rozi Jidin bersama Ketua Penolong Pengarah Kawalan Lalu Lintas, JSPT Bukit Aman, Superintenden Mohd Yatim Osman.
Peringkat kali ini menampilkan tiga zon pecutan di Jitra, Pendang dan Sungai Petani, Kedah yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh 128 pelumba daripada 22 pasukan untuk memburu kedudukan terbaik masing-masing.
Cabaran lebih getir menanti pada Peringkat Ketiga esok, apabila para pelumba perlu mengharungi laluan sejauh 198.2 km dari Gerik, Perak sebelum menamatkan kayuhan di Pasir Puteh, Kelantan.