Shah Alam, 8 Oktober 2025 - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas dadah bernilai RM19.76 juta dalam siri serbuan di sekitar Subang Jaya pada 1 Oktober lalu.
Dalam serbuan itu, enam individu warga tempatan, termasuk seorang wanita berusia 30 hingga 56 tahun ditahan.
Ketua
Polis Selangor, CP Dato' Pahlawan Shazeli Dato' Kahar berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 5.50 petang apabila sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor menahan tiga lelaki di dalam sebuah kereta jenis Volkswagen yang diletakkan di hadapan sebuah rumah.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemui dadah disyaki Syabu seberat 50.30 gram.
"Siasatan lanjut membawa polis ke dalam rumah berkenaan, sebelum menahan dua lagi lelaki dan seorang wanita, manakala pemeriksaan menemukan 1.59 kilogram dadah disyaki Syabu dan 100 gram Ekstasi.
“Berdasarkan maklumat suspek, polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah di sekitar Subang Jaya dan merampas 115.89 kilogram pil dan serbuk Ekstasi, 20.4 kilogram Heroin, serta 1.8 kilogram bahan asas Heroin.
“Turut ditemui ialah 17 botol berisi cecair kimia dan tiga botol serbuk kimia dipercayai digunakan dalam pemprosesan dadah dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM19.76 juta.
“Kita percaya sindiket ini mahu membuka makmal pemprosesan dadah, tetapi masih dalam percubaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan
Berita Harian seperti di lampiran.