Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani
Segala pujian dan syukur dipanjatkan kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana dengan izin-Nya jua kita dapat bersama-sama menyambut Hari Sukan Negara Peringkat Polis Diraja Malaysia Tahun 2025.
Hari Sukan Negara (HSN) 2025 dengan tema “Malaysia Aktif” menekankan penglibatan aktif warga Polis Diraja Malaysia dalam membudayakan gaya hidup sihat serta mempereratkan ukhuwah antara warga Pasukan dan masyarakat. Sambutan ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti sukan dan rekreasi sebagai amalan kehidupan seharian, malah menjadi landasan untuk menyemai semangat perpaduan selaras dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.
PDRM komited merealisasikan agenda Hari Sukan Negara sebagai usaha membudayakan sukan dan memupuk gaya hidup sihat, di samping memperkukuh perpaduan bersama masyarakat serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara melalui industri sukan sejajar aspirasi Kerajaan Madani dalam membina masyarakat yang mampan. Sebagai simbolik sokongan dan sumbangan PDRM kepada pertumbuhan ekonomi sukan negara, warga Pasukan sentiasa digalakkan untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Tuntutan tugas sebagai anggota penguat kuasa sememangnya memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Namun, ia bukan alasan untuk mengabaikan aspek kesihatan fizikal, mental dan emosi. Aktiviti sukan dan rekreasi merupakan medium terbaik untuk memastikan setiap warga Pasukan kekal cergas dan berdaya tahan bagi menghadapi ancaman keselamatan masa kini. Selain itu, ia juga membentuk sahsiah diri, disiplin, memupuk semangat esprit de corps serta meningkatkan fokus ke arah penyampaian perkhidmatan yang berkesan.
Justeru, saya menyeru seluruh warga Sang Saka Biru agar menghayati tema “Malaysia Aktif” dengan membudayakan sukan dan amalan gaya hidup sihat secara konsisten. Jadikanlah PDRM sebuah pasukan penguat kuasa undang-undang yang bukan sahaja cekap dan berwibawa dalam menjaga keselamatan negara, malah menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk kehidupan yang sihat, cergas dan sejahtera.
(DATO’ SRI HJ. MOHD KHALID BIN HJ. ISMAIL) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia