Raub, 13 Oktober 2025 - Cubaan dua lelaki tempatan ‘menyeludup' tiga wanita warga Indonesia tanpa dokumen sah gagal apabila kereta dinaiki mereka terbabas di hadapan Balai Polis Dong, di sini, kelmarin selepas dikejar sejauh lebih 80 kilometer dari Gua Musang.
Ketua
Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian jam 10.15 pagi itu berlaku selepas anggota Unit Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang mengesan kereta Proton Preve dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tanah Putih, Gua Musang.
Menurutnya, pemandu kenderaan berkenaan enggan berhenti apabila diarahkan, sebaliknya memecut laju secara berbahaya menuju ke arah Raub sebelum hilang kawalan dan terbabas di hadapan Balai Polis Dong.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga wanita warga Indonesia tanpa dokumen sah berada di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Superintenden Mohd Shahril berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui 34 biji pil disyaki dadah jenis Yaba (WY) serta satu peket disyaki Syabu di dalam kereta itu.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu palsu dan dua lelaki tempatan terbabit dipercayai berperanan sebagai pengangkut (transporter) migran dengan menerima bayaran bagi membawa warga asing dari Kelantan ke Kuala Lumpur.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(i)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dua suspek utama turut ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan
Harian Metro seperti di lampiran.