Menu

OBK: PDRM PERKUKUH KERJASAMA ANTARA AGENSI DEMI KHAZANAH NEGARA



Lundu, 16 Oktober 2025 – Dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen untuk terus memperkukuhkan kerjasama antara agensi (inter-agency) melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), dengan perkongsian kepakaran serta sinergi bersepadu bersama agensi sahabat di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menyatakan perkara tersebut dalam Mesyuarat OBK Siri 18 Bilangan 2/2025 anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang berlangsung di Roxy Beach Resort, Sematan, di sini, pagi tadi.

Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan secara bersama oleh beliau dan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin serta Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid menegaskan bahawa perlindungan biodiversiti negara tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan strategik rentas agensi serta penglibatan masyarakat.

Menurut beliau, ancaman terhadap khazanah negara kini tergolong sebagai jenayah terancang rentas sempadan yang menuntut koordinasi menyeluruh dan kesepaduan gerak kerja antara penguat kuasa, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak komuniti.

Dalam menghadapi cabaran era digital, beliau menyeru agar OBK mengadaptasi teknologi baharu termasuk digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) bagi mendahului modus operandi penjenayah yang semakin kompleks. Menurutnya, penggunaan teknologi akan memperkukuh keberkesanan operasi dan keupayaan pengesanan terhadap aktiviti penyeludupan yang semakin sofistikated.

Mesyuarat turut menyaksikan beberapa pembentangan teknikal termasuk Perancangan dan Pelaksanaan OBK 2025 oleh JKDM, laporan prestasi OBK Sarawak oleh Sarawak Forestry Corporation, taklimat keselamatan bagasi dan kargo udara oleh Malaysian Airports Holdings Berhad serta laporan status Dana Projek Selamatkan Harimau Malaya oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Dalam ucapan penutup, beliau menyeru semua pihak untuk terus memperkasakan OBK sebagai platform nasional yang mempertahankan warisan alam negara demi generasi akan datang. Tambahnya negara yang mampan hanya dapat dicapai melalui keseimbangan antara manusia dengan alam dan khazanah ini merupakan amanah yang perlu dijaga bersama.

Sejurus mesyuarat, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid menyertai lawatan lapangan ke Jeti Sematan, Pantai Telok Melano, Taman Negara Labuan Gadung serta Program Konservasi Penyu di Taman Negara Tanjung Datu sebagai simbol komitmen berterusan PDRM terhadap tanggungjawab lapangan dalam pemeliharaan alam sekitar.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, CP Dato’ Fisol Salleh, Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Hj. Abdullah, Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am), Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohd Rodhi, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Kamaruzaman Abdullah, Ketua Penolong Pengarah (WCB/PSK), Jabatan KDNKA Bukit Aman, SAC Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi, Superintenden Komunikasi Korporat, Superintenden William Nobes serta wakil-wakil agensi kerajaan dan NGO.

Jurugambar: Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak









No photo description available.










PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS