Kuala Lumpur, 15 Oktober 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini merasmikan Majlis Penutupan Kolokium Kaunselor Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tahun 2025 sempena Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat PDRM yang diadakan di Dewan Teater, Bangunan Akademik,
Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.
Kolokium yang berlangsung selama dua hari sejak semalam telah menghimpunkan seramai 232 pegawai PDRM yang memiliki latar belakang akademik dalam bidang psikologi dan kaunseling.
Berucap dalam majlis perasmian penutup, Tan Sri Ayob Khan menegaskan bahawa dalam era kepolisan moden yang berdepan pelbagai cabaran serta ancaman keselamatan, perkhidmatan kaunseling memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya tahan mental, memantapkan integriti dan meningkatkan profesionalisme warga PDRM.
Majlis turut menyaksikan gimik peluncuran Buku Modul Pembangunan Integriti (Pendekatan Psikologi) yang disempurnakan oleh Tan Sri Ayob Khan bersama Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), CP Dato’ Hamzah Hj. Ahmad dengan diiringi oleh Timbalan Pengarah (Agama Kaunseling), JIPS Bukit Aman, DCP Datuk Azhan Abdul Halim. Modul terbitan Cawangan Psikologi Kaunseling ini selaras dengan Pelan Anti Rasuah Organisasi PDRM, syor Jawatankuasa Tatakelola dan usaha kerajaan membanteras rasuah sebagai musuh utama negara.
Terdahulu, telah berlangsung forum bertajuk “Darurat Senyap: Menguruskan Kesihatan Mental Sebelum Terlambat” yang menampilkan tiga ahli panel, iaitu Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (
PERKAMA International), Dato’ Dr. Abd Halim Mohd Hussin, Pengarah
Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, Dr. Nurashikin Ibrahim dan ASP Kaunseling Kerjaya/Keluarga, Bahagian Agama dan Kaunseling/Kaunselor PDRM, ASP Hafizah Raduan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah barisan Pengarah Jabatan PDRM dan sebahagian warga kerja PDRM.