Alor Gajah, 19 Oktober 2025 - Strategi baharu polis untuk meningkatkan keberadaan mereka di sekolah akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan itu diambil selepas Kabinet mengarahkan
Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia untuk tampil lebih kerap di kawasan sekolah dalam usaha kerajaan mengekang aktiviti jenayah dalam kalangan remaja.
“Kami perlu tingkatkan rondaan ini yang bersifat "omni-presence", maknanya keberadaan pasukan polis di sesebuah sekolah,” katanya selepas merasmikan Simposium Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia 2025 semalam.
Beliau berkata, selain keberadaan secara "omni-presence" itu, polis juga diminta tampil dengan program lebih kreatif bagi meningkatkan kesedaran murid dan pelajar mengenai aktiviti jenayah.
“Maksudnya, polis mesti menyusul dengan (antaranya) kekerapan jadual lawatan, kena ada pembabitan lebih langsung dengan sekolah, bukan setakat dengan melawat dan singgah sahaja.
“Dia (polis) kena lebih kreatif tampil dengan pelbagai sesi pembabitan, lawatan yang lebih kerap, pemeriksaan lebih teratur, kemudiannya khidmat nasihat kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan
Berita Harian seperti di lampiran.