Jasin, 19 Oktober 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay hadir memeriahkan Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di
Politeknik Merlimau, hari ini.
Ia disempurnakan dengan penuh simbolik dan semangat patriotik oleh Perdana Menteri, Dato' Seri
Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed
Khaled Nordin serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama
Ab Rauf Yusoh.
Bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’, program ini merupakan inisiatif Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi dengan kerjasama strategik
Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Negeri Melaka. Setelah tiga hari berlangsung sejak Jumaat lalu, majlis ini secara rasmi melabuhkan tirai, menandakan penutup siri jelajah PMR bagi tahun 2025.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyemarakkan PMR dengan penyertaan aktif melalui pembukaan reruai pameran khas dan tawaran diskaun saman trafik kepada orang ramai. Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kewangan rakyat, menggalakkan penyelesaian saman tertunggak serta memupuk kesedaran terhadap kepatuhan undang-undang jalan raya.
Dalam majlis yang penuh makna itu, Dato' Seri Anwar telah menyempurnakan penyerahan pelbagai bentuk bantuan di bawah Program Bantuan Sejahtera MADANI kepada penerima isi rumah miskin dan miskin tegar. Turut disalurkan ialah Bantuan Institut Pengajian Tinggi Awam dan Biasiswa Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Ummatic Scholarship kepada anak-anak veteran
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang cemerlang, di samping Dana Persatuan dan Inisiatif Perumahan Veteran ATM sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam memperjuangkan kebajikan warga pertahanan negara.
Terdahulu, Tan Sri Ayob yang diiringi Ketua
Polis Melaka, DCP Dato’ Dzulkhairi Mukhtar berkesempatan melawat reruai pameran PDRM serta menyantuni petugas dan pengunjung yang hadir.
Turut memeriahkan majlis ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri
Shamsul Azri Abu Bakar, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum,
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Azhar Arshad dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.