Warga Polis Sental, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh diketuai oleh Inspektor Kepolisan Am, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Inspektor Zul Nur Azwan Ghani berbesar hati melayani murid-murid dari Tadika Kinderland Ipoh yang melakukan lawatan sambil belajar ke balai berkenaan.
Lawatan tersebut merupakan aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah di samping memberi pendedahan awal kepada murid-murid prasekolah tentang keselamatan dan peranan pihak polis di dalam komuniti.
Kanak-kanak tersebut diberi taklimat ringkas mengenai keselamatan diri dan melihat aset-aset yang digunakan oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tugasan harian.
Lebih menarik, mereka juga berpeluang menaiki kenderaan rasmi PDRM selain sesi bergambar bersama anggota polis.