Kuala Lumpur, 26 Oktober 2025 – Tiada misi lebih besar buat penyandang juara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain mempertahankan maruah jersi apabila turun menentang Johor dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong di Universiti Malaya (UM) Arena pada hari ini.
Kapten pasukan, Ammar Mohd Tahir menegaskan semangat juang dan kekuatan hati menjadi nadi utama skuadnya yang kini memburu kejuaraan kali ketiga berturut-turut.
“Bagi saya, kekuatan hati untuk mempertahankan maruah jersi lebih utama. Bila semangat itu wujud dalam diri setiap pemain, kami akan lebih bersemangat untuk berjuang dan membawa pulang kemenangan di UM Arena,” katanya kepada Sukan Sinar.
Ammar turut menambah keyakinannya terhadap strategi kejurulatihan yang disifatkan pelengkap kepada semangat juang pemain.