Kuala Lumpur, 24 Oktober 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menumpaskan sindiket pengedaran dan pemilikan Bahan Penganiayaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) menerusi Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 2.0, yang dilaksanakan pada 22 hingga 30 September lepas.
Ketua Polis Negara, IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail berkata, operasi khas diketuai Bahagian D11,
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu telah menahan 31 individu termasuk enam kanak-kanak serta seorang warga asing berusia 12 hingga 71 tahun, dalam serbuan serentak di 37 lokasi seluruh negara.
“Operasi yang dijalankan secara bersepadu melibatkan 206 pegawai dan anggota daripada 14 kontinjen PDRM serta SKMM ini merupakan hasil risikan digital, pemantauan laman web gelap dan aduan awam yang prihatin terhadap eksploitasi seksual kanak-kanak di ruang siber,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 25 individu adalah sasaran utama manakala enam lagi ditahan hasil tangkapan susulan dengan rampasan turut melibatkan 82 peranti digital seperti komputer, telefon bimbit, modem dan storan data.
“Hasil pemeriksaan mendapati lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan CSAM dan pornografi dewasa ditemukan iaitu peningkatan lebih 20 kali ganda berbanding Op Pedo 1.0 pada Disember 2024 yang hanya merekodkan 40,000 fail,” katanya.