Kuala Lumpur, 2 November 2025 – Ketua Polis (KP) Kuala Lumpur, CP Dato' Fadil Hj. Marsus mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya KP negeri yang menyertai kejohanan sukan lasak IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi 2025 di Pulau Langkawi, baru-baru ini.
Dato’ Fadil telah berjaya menamatkan cabaran IRONMAN dengan jayanya iaitu dengan melalui cabaran berenang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal 180 kilometer dan larian marathon sejauh 42 kilometer dengan keseluruhan jarak 226 kilometer dalam tempoh 16 jam bersama-sama 18 orang ahli Pasukan yang lain terdiri dari pegawai kanan dan pegawai rendah polis.
Selain itu, bagi kategori Relay, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat pencapaian cemerlang apabila meraih tempat kedua, manakala Koperal Muhammad Luqmanul Hakim Hamidi menamatkan saingan IRONMAN 70.3 Langkawi 2025 di kedudukan ketiga.
Penyertaan dalam acara berprestij ini bukan sahaja menzahirkan kecemerlangan fizikal dan disiplin pasukan, malah diharapkan menjadi inspirasi kepada seluruh warga PDRM untuk mengamalkan gaya hidup sihat sekaligus memperkukuh imej positif Pasukan di mata masyarakat.