Gerik, 2 November 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri 
Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini memeriahkan Program Sua Mesra Bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri (Timbalan MDN) yang berlangsung di Dataran Tasik Raban, Lenggong, pagi tadi.   
     Ketibaan beliau telah disambut oleh Ketua 
Polis Perak, CP Dato' Noor Hisam Nordin. 
     Program anjuran 
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama 
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang disempurnakan oleh Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. 
Shamsul Anuar Hj. Nasarah, bertujuan memperkukuh hubungan antara agensi-agensi di bawah kementerian dengan masyarakat setempat melalui penglibatan komuniti dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan interaktif.  
     Polis Diraja Malaysia turut memeriahkan program dengan pembukaan reruai pameran khas serta menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 70 peratus kepada orang ramai. Inisiatif itu bagi menggalakkan penyelesaian saman tertunggak dan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepatuhan undang-undang jalan raya.
 
 
    Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pameran interaktif Bas Bergerak AADK, pemeriksaan kesihatan, Jualan RAHMAH serta pelbagai aktiviti riadah seperti pertandingan sukan air, mewarna dan masakan tradisional.
 
 
    Tan Sri Ayob Khan turut sempat melawati tapak pameran dan beramah mesra dengan para pengunjung.
 
 
    Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh, Pemangku Ketua Cawangan Khas Kontinjen Perak, ACP Sugemin Zainol dan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman.