Sepang, 13 November 2025 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan kerjasama Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) dan Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. (AIS) telah menganjurkan PDRM Special Dialogue IV 2025 yang berlangsung di Hotel Sama-sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini.
Edisi kali ini menghimpunkan pemimpin, pembuat dasar serta agensi penguatkuasaan bagi membincangkan usaha mewujudkan sistem jalan raya yang lebih pintar, selamat dan mampan di Malaysia.
Dalam ucapan pembukaan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail, beliau menekankan mengenai komitmen PDRM untuk menjadi organisasi dinamik dan responsif melalui kerjasama, pemerkasaan dasar serta penggunaan kepakaran, inovasi dan teknologi dalam bidang keselamatan serta penguatkuasaan.
Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail yang menekankan mengenai penglibatan secara aktif semua pihak dalam penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan pelbagai inisiatif, terutamanya dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan.
Terdahulu telah berlangsung sesi dialog bertajuk "Towards Zero Fatalities: Malaysia’s Road Safety and Traffic Enforcement Initiative” yang menampilkan tiga panel jemputan iaitu Profesor Dr. Kulanthayan KC. Mani dari Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Fadzilah Abd Rahman dari Sekolah Pendidikan Universiti Sunway dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infrastruktur),
Jabatan Kerja Raya Malaysia, Ir. Mohd Shahrom Ahmad Saman. Sesi tersebut dikendalikan oleh Pengarah Wilayah Hal Ehwal Korporat Carsome, Encik Leeroy Ting Kah Sing selaku moderator.
Sebelum majlis menutup tirai, sesi perbincangan bertajuk “Traffic Data, AI and Smart Mobility: Strengthening Regional Cooperation in Asia Towards Malaysia Planning” menampilkan tiga panel daripada pelbagai latar belakang yang terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Putrajaya, Puan Nor Azizah Aling, Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan,
Universiti Teknologi MARA, Profesor Ts. Dr. Mohd Naz'ri Mahri dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAS Teknologi, Encik Anwar Ishak. Manakala Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Dr. Siti Zaharah Ishak selaku moderator.
Hadir sama, Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman, Timbalan KPN, DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah JSPT merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, para pegawai kanan polis, wakil KPDRM dan AIS serta rakan media.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar