Kuala Lumpur, 20 November 2025 – Kenaikan pangkat merupakan simbolik pengiktirafan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap dedikasi dan perkhidmatan cemerlang warganya serta menjadi pemangkin semangat ke arah kecemerlangan yang berterusan pada masa akan datang.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dalam Majlis Pemakaian Lencana Pangkat bagi Pegawai Kanan Polis (Pegawai Diwartakan) yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, petang tadi.
Majlis yang disempurnakan oleh KPN itu melibatkan 62 pegawai kanan PDRM yang terdiri daripada satu Komisioner Polis (CP), enam Deputi Komisioner Polis (DCP), 14 Senior Asisten Komisioner (SAC), 14 Asisten Komisioner Polis (ACP) dan 27 Superintenden Polis selaras dengan Arahan Pertukaran Pegawai Kanan Polis yang diumumkan baru-baru ini.
Mendahului senarai ialah Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, CP Dato' Mohammad Shaharul Md Osman, Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Datuk Fazlisyam Abd Majid, Timbalan Ketua
Polis Kontinjen Kuala Lumpur, DCP Dato' Mohd Azani Omar, Ketua Penolong Pengarah E4, Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Dato' Pahlawan Hishammudin Mohd Amin dan SAC Dasar Strategik Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, DCP Abdul Rahman Kassim.
Tambah Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid dalam ucapannya menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada semua pegawai yang dinaikkan pangkat serta menegaskan bahawa kewajipan untuk melaksanakan setiap amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
Beliau juga menyeru kepada seluruh warga Pasukan untuk terus memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi, mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam setiap aspek penugasan.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan KPN, DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah
Pengurusan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Sri Abdul Aziz Abdul Majid, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Ketua
Polis Selangor, CP Dato' Pahlawan Shazeli Dato' Kahar, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Kamaruzaman Abdullah serta wakil media.