Putrajaya, 22 November 2025 - Putrajaya International Convention Centre hari ini menjadi pentas penuh penghormatan apabila para pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh negara diraikan dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) Tahun 2025 yang berlangsung dengan penuh adat kepolisan, di sini.
Majlis tersebut merupakan kesinambungan sesi pertama DKPP yang berlangsung pada 22 Oktober lalu yang menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,
Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan darjah kepahlawanan kepada barisan pegawai kanan PDRM di Istana Negara.
Pada sesi kedua tadi, seramai 208 warga PDRM telah menerima pengiktirafan atas kepimpinan cemerlang, keberanian serta pengorbanan mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ia juga simbol penghargaan daripada Kerajaan kepada warga Sang Saka Biru yang sentiasa menunjukkan tahap profesionalisme dengan keberanian luar biasa, integriti tinggi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan keamanan negara kekal terjamin.
Istiadat turut menyaksikan penganugerahan Darjah Kebesaran Pangkat Kedua Panglima Setia Pasukan Polis (P.S.P.P.) kepada 32 penerima, Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga Pahlawan Pasukan Polis (P.P.P.) (100 penerima), Darjah Kebesaran Pangkat Keempat Kesatria Pasukan Polis (K.P.P.) (46 penerima), dan Darjah Kebesaran Pangkat Kelima Bentara Pasukan Polis (B.P.P.) (27 penerima).
Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU)
Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr. Awang Alik Jeman, Timbalan KSU (Keselamatan) KDN, Dato’ Hj. Abdul Halim Abdul Rahman, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM bersama pasangan masing-masing.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Syafiq Abu Bakar dan Lans Koperal Khairunisa Ibrahim.