Gerik, 23 November 2025 - 'Mengidam' daging kijang menyebabkan ramai pemburu haram dikesan menceroboh masuk ke dalam hutan simpan bagi memburu haiwan liar dilindungi itu.
Terbaharu dua lelaki ditahan di Jalan Balak, FELDA Lawin Utara, Lenggong, Perak selepas dikesan menjalankan kegiatan menembak kijang menggunakan senapang buatan sendiri.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Dato' Abdul Kadir Abu Hashim berkata suspek ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Utara Siri 11/2025 membabitkan 13 pegawai PERHILITAN dan empat anggota
Pasukan Gerakan Am.
Menurutnya, dalam operasi itu, pihaknya menahan kenderaan pacuan empat roda mencurigakan di lokasi berkenaan jam 1 tengah hari kelmarin.
“Soal siasat dijalankan mendapati suspek berusia 50an dan 60an itu berasal dari Serdang dan Kulim, Kedah.
“Hasil pemeriksaan menemui longgokan daging dipercayai daging kijang, dua senjata api buatan sendiri, tiga peluru hidup serta dua telefon bimbit.
“Semua rampasan dianggarkan bernilai RM50,000. Pihak kami percaya suspek menjalankan kegiatan pemburuan haram di hutan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua lelaki itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik untuk tindakan lanjut.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar terbitan
Harian Metro seperti di lampiran.