Seremban, 4 Disember 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) Malaysia, Datin Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat
Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, pagi tadi.
Ketibaan Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid disambut oleh Ketua Polis negeri, DCP Dato’ Alzafny Ahmad bersama isteri merangkap Pengerusi PERKEP Kontinjen Negeri Sembilan, Datin Afifah Abdul Wahab sebelum beliau melakukan pemeriksaan kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 101 anggota IPK Negeri Sembilan, diketuai Pegawai Pemerintah Baris, DSP Mohamad Hafiz Elias.
Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan oleh DCP Dato’ Alzafny yang merangkumi situasi jenayah semasa, keupayaan operasi serta cabaran strategik yang dihadapi Kontinjen Negeri Sembilan.
Dalam sesi amanat kepada warga Kontinjen Negeri Sembilan di Dewan Utama IPK, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid menzahirkan penghargaan terhadap iltizam pegawai dan anggota dalam memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Beliau turut mengingatkan agar integriti, disiplin dan semangat kerja berpasukan terus menjadi teras kekuatan organisasi.
“Saya menyeru seluruh warga Pasukan terus memegang tekad dan taat setia untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat. Jadikanlah setiap hari sebagai peluang untuk menambah baik, berinovasi dan menonjolkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disegani,” katanya.
Selesai sesi amanat, KPN dan isteri meneruskan rangka lawatan melalui Program Ziarah Kasih bagi menyantuni anggota dan pesara yang sedang diuji masalah kesihatan.
Kunjungan pertama adalah ke kediaman Koperal Mohd Bhadurol Hazani Mat Hasan di Taman Andalas, Mantin yang menghidap kegagalan buah pinggang kronik, menjalani rawatan hemodialisis dan bergantung kepada kerusi roda selepas kehilangan kaki kanan.
Delegasi kemudian menziarahi pesara Koperal Muhamad Ikhsan Md Sarif di Taman Desa Dahlia, Senawang yang terlantar akibat kerosakan otak, sebelum mengunjungi Koperal Mohd Fairus Khamis di Bandar Sri Sendayan yang masih menerima rawatan berikutan kemalangan jalan raya.
Dalam setiap kunjungan, KPN dan rombongan menyerahkan cenderahati serta menyampaikan sokongan moral kepada keluarga sebagai tanda keprihatinan PDRM terhadap kebajikan warga Pasukan.
Turut hadir, Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato’ Hussein Omar Khan, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Abdul Rahman Kassim, Timbalan Ketua Polis negeri, SAC Muhammad Idzham Hj. Jaafar bersama isteri merangkap Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Negeri Sembilan, Puan Nor A’ini Daud, barisan ketua jabatan dan ketua polis daerah Kontinjen Negeri Sembilan, para pegawai kanan serta ahli-ahli PERKEP Kontinjen Negeri Sembilan.