Menu

JPJKK TERUS TERAJUI INISIATIF SEKOLAH SELAMAT, BANTERAS GEJALA BULI

Kuala Lumpur, 5 Disember 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) terus memperkukuh komitmen dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat serta membanteras gejala buli dalam kalangan pelajar di seluruh negara.

Pendekatan tersebut diperkasakan melalui peranan aktif Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dengan sokongan pelajar, ibu bapa dan komuniti sekolah dalam meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dan kesan buruk buli.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail ketika menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Bulanan KPN bagi bulan Disember 2025 anjuran JPJKK yang berlangsung di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, pagi tadi.

Menurut beliau, usaha bersepadu itu diyakini dapat mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih selamat, memupuk budaya hormat-menghormati dan memastikan insiden buli dapat dicegah dari peringkat awal.

Tambah beliau lagi, PDRM bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memperkukuh kerjasama melalui pelaksanaan Kempen Anti Buli yang telah dilancarkan pada Oktober lalu.

“Selain itu, usaha memperkasa kerangka keselamatan sekolah di peringkat nasional turut digerakkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Permuafakatan PDRM-KPM pada 28 Oktober 2025 yang menetapkan strategi, indikator dan dasar komprehensif bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif,” katanya.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan Unit Mobile Patrol Vehicle (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal dari Bahagian Operasi Darat JPJKK yang merekodkan lebih 19,000 tangkapan melibatkan pelbagai kes jenayah termasuk narkotik dan imigresen dari tempoh Januari hingga Oktober 2025.

Kejayaan itu membuktikan kecekapan serta dedikasi tinggi warga JPJKK dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM kepada tiga kuarters polis, iaitu Perumahan Polis Menara Sri Kemboja Kuala Lumpur, Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam Johor dan Perumahan Balai Polis Bukit Kayu Hitam Kedah atas kecemerlangan pengurusan perumahan warga PDRM.

Seramai 20 warga PDRM dari pelbagai jabatan dan formasi turut menerima Surat Penghargaan KPN atas komitmen serta prestasi tugas cemerlang yang telah ditunjukkan.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Kepolisan Komuniti) JPJKK Bukit Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, DCP Dato’ Aida Abdul Hamid bersama barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM.

Jurugambar: Lans Koperal Bryan Mustin dan Konstabel Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi.

May be an image of dais and text

May be an image of text

May be an image of text

May be an image of text

May be an image of one or more people
May be an image of one or more people and text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS