Kuala Lumpur, 8 Disember 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) terus memperkasa peranan serta kepimpinan wanita di dalam Pasukan melalui penganjuran Seminar Pembangunan Pengurusan Polis Wanita Tahun 2025 yang berlangsung penuh iltizam di Dewan Sultan Hj. Ahmad Shah,
Maktab PDRM Kuala Lumpur, di sini, petang tadi.
Seminar yang mengangkat tema “Pemerkasaan Wanita PDRM, Tonggak Integriti dan Profesionalisme” itu berlangsung selama dua hari, iaitu pada 8 dan 9 Disember, dengan menghimpunkan pegawai kanan serta pegawai rendah polis wanita dari seluruh kontinjen.
Selain memperkukuh kompetensi, sahsiah dan kepimpinan merentas pelbagai peringkat perkhidmatan, seminar itu juga menfokuskan aspek kepimpinan, integriti, kesihatan serta pembangunan profesionalisme, selaras dengan agenda pemerkasaan polis wanita.
Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr.
Shamsul Anuar Nasarah, dengan kehadirannya diiringi oleh Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menegaskan bahawa kredibiliti dan kepimpinan pegawai polis wanita kini semakin menyerlah sehingga mampu mengubah persepsi konvensional yang sebelum ini meragui kemampuan mereka sebagai pemimpin dan pembuat dasar.
Berucap dalam majlis sama, Dato' Sri Hj. Mohd Khalid menekankan bahawa pemerkasaan wanita tidak lagi boleh dianggap sebagai agenda sampingan, sebaliknya perlu menjadi nadi pembentukan kepimpinan dan integriti Pasukan.
“PDRM tidak seharusnya ketinggalan dalam menjadi pelopor pemerkasaan wanita, menzahirkan potensi mereka bukan sekadar sebagai pelengkap tetapi sebagai tulang belakang kepimpinan, pengurusan strategik dan kepakaran teknikal,” jelas beliau.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Sijil Penghargaan Anugerah JPPPW Tahun 2025 bagi kategori Anugerah Hati Waja JPPPW kepada tiga pegawai wanita yang berjiwa kental dan mempunyai ketabahan yang luar biasa di dalam perkhidmatan.
Mereka terdiri daripada ASP Siti Nor Mairah Ghumat dari Bahagian Latihan, Jabatan
Pengurusan Bukit Aman, Kuala Lumpur, ASP Nor Murni Tabarani dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Bentong, Pahang dan Sarjan Mejar Hamizah Hamidon dari IPD
Alor Gajah, Melaka.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Perancangan Strategik,
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, ACP Loi Poo Lang dan Koperal Nor Akila Mohammad Rodzi dari Unit Pegawai Rendah Polis dan Cawangan Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman menerima Anugerah Khidmat Komuniti JPPPW Tahun 2025 atas pencapaian cemerlang dalam khidmat komuniti bukan sahaja dalam negara tetapi juga di pentas antarabangsa.
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM, Ketua Polis (KP)
Selangor, CP Dato' Pahlawan Shazeli Dato' Kahar, KP Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Hj. Marsus, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Kepolisan Komuniti),
Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman merangkap Pengerusi JPPPW, DCP Dato’ Aida Abdul Hamid dan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, DCP Dr. Che Ghazalie Che Awang.