Kuala Lumpur, 23 Disember 2025 - Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) hari ini berkumpul bagi menyaksikan Majlis Paluan Berundur sempena persaraan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, CP Datuk Ts. Ahmad Ramdzan Daud di Dewan Pengaman, Pusat Latihan Polis (
PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, petang tadi.
Beliau yang akan menjalani persaraan wajib pada 24 Disember ini hadir bersama isteri, Datin Noorbahiah Daud telah disambut mesra Ketua Polis Negara, IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama Pengarah Cawangan Khas, CP Datuk Ibrahim Darus.
Menyingkap kembali perjalanan karier anak kelahiran Klang, Selangor yang berpengalaman selama 38 tahun di dalam Pasukan, Datuk Ts. Ahmad Ramdzan mula menyertai PDRM sebagai pelatih Kadet Inspektor di PULAPOL Kuala Lumpur pada tahun 1987.
Sepanjang tempoh bersama Cawangan Khas, beliau telah menggalas tanggungjawab sebagai Juruiring Keselamatan Perdana Menteri dan beberapa Timbalan Perdana Menteri semenjak dari zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Berbekalkan kewibawaan dan kecemerlangan yang dipamerkan dalam perkhidmatan telah melayakkan beliau memegang beberapa jawatan penting, antaranya Security Liaison Officer di Washington DC (2013), Ketua Cawangan Khas Johor (2017), Ketua Penolong Pengarah E9 (2020), Timbalan Pengarah II (2022) dan Timbalan Pengarah I Cawangan Khas (2023).
Bapa kepada tiga orang anak itu terus menunjukkan prestasi membanggakan apabila diberi kepercayaan menjadi Pengarah Cawangan Khas dan kemudiannya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM pada tahun 2025.
Antara kejayaan yang dilakar beliau termasuk berperanan dalam memastikan sumber dan aset keselamatan negara digunakan secara efektif untuk membanteras ancaman keselamatan seperti keganasan, ekstremisme dan kegiatan subversif.
Di bawah kepimpinan beliau juga, operasi risikan negeri diselaraskan dengan lebih tersusun, ancaman rentas sempadan dipantau secara teliti dan hubungan risikan Malaysia-Singapura diperkukuh. Beliau juga pernah dilantik sebagai Presiden Federal Bureau of Investigation National Academy Asia Facific Malaysia pada tahun 2023.
Dalam majlis yang berlangsung sekitar sejam tadi, Datuk Ts. Ahmad Ramdzan telah diberi penghormatan oleh Pasukan untuk menjadi "guest conductor" bagi memimpin Pancaragam Pusat PDRM yang diketuai Ketua Pengarah Muzik PDRM, Superintenden Mohd Fazilah Mohamad Noor dan Penolong Pengarah Muzik PDRM, Inspektor Muhammaf Farhan Mohamad Safiruddin dengan membawa lagu "Despacito".
Majlis seterusnya diakhiri dengan deklamasi sajak bertajuk “Perwiraku” yang disampaikan dengan penuh penghayatan oleh Inspektor Muhammad Faizul Mustafa.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis
PERKEP) Malaysia, Datin Sri Datuk (Dr.) Hjh Munirah Che Rose, ahli-ahli PERKEP dan para rakan media.
Bagi pihak seluruh warga PDRM, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa serta bakti yang telah dicurahkan oleh Datuk Ts. Ahmad Ramdzan Daud kepada Pasukan dan semoga menjalani tempoh persaraan dengan penuh bahagia bersama keluarga tercinta.