Kuala Lumpur, 6 Januari 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini menjadi saksi Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas (STT) bagi dua portfolio pengarah jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlangsung di Dewan Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, di sini.
Penyerahan tugas dua jawatan pengarah iaitu Pengarah
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik telah berlangsung di antara CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri dengan CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah Ali yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.
Tertib acara dimulakan dengan pemakaian lencana pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Dato’ Sri Muhammed Hasbullah yang disempurnakan oleh KPN di hadapan para tetamu jemputan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan upacara menandatangani dokumen rasmi dan penyerahan tongkat kuasa yang disaksikan oleh KPN sebagai simbolik penyerahan tanggungjawab dan amanah kepada mereka yang dilantik ke jawatan baharu.
Dalam majlis yang sama turut berlangsung STT jawatan Ketua Pasukan AMLA Bukit Aman daripada CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah kepada penyandang baharu iaitu DCP Datuk Fazlisyam Abd Majid.
Berucap dalam majlis yang diadakan, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid menyatakan bahawa pelantikan dan perubahan pucuk kepimpinan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan strategik PDRM bagi memperkasa serta menyegarkan organisasi Pasukan Sang Saka Biru.
Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan meningkatkan keberkesanan operasi, memperkukuh tadbir urus serta memastikan PDRM kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran keselamatan yang sentiasa berubah.
Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pemimpin PDRM agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip amanah kepimpinan, memimpin melalui teladan, mengutamakan kebajikan anggota dan masyarakat serta mengekalkan integriti dan profesionalisme dalam setiap pelaksanaan tugas.
Tidak ketinggalan juga, beliau memberi penekanan supaya fokus terhadap kepercayaan awam, pengadaptasian teknologi dan inovasi, jalinan kerjasama strategik, pembangunan kapasiti anggota serta tahap kesiapsiagaan berterusan bagi menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan KPN, DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay, barisan pengarah PDRM serta pegawai kanan Bukit Aman.