Kuala Lumpur, 15 Januari 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay tampil sebagai panel jemputan dalam Forum 360˚ bertajuk “Bagai Aur Dengan Tebing” yang berlangsung di Surau Jumaat Al Syakirin, Keramat Wangsa, di sini, malam tadi.
Forum tersebut turut menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL), Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil sebagai panel, manakala Pengerusi Maahad Tahfiz Darul Muhibbin, Ustaz Ahmad Shadan Al-Hadrami selaku moderator.
Sesi yang berlangsung hampir dua jam itu memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi agama dalam usaha membendung ekstremisme, ajaran sesat serta ancaman keselamatan negara. Ia turut menekankan kepentingan pendidikan agama yang seimbang dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan berdaya tahan.
Tan Sri Ayob Khan telah mengupas pelbagai bentuk ancaman keselamatan masa kini yang merangkumi aspek fizikal, ideologi dan digital. Beliau menegaskan keperluan pendekatan menyeluruh melibatkan kerjasama erat antara pihak berkuasa, institusi agama dan masyarakat bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara terus terpelihara.
Beliau juga menyentuh mengenai peranan penting masyarakat sebagai ‘mata dan telinga’ pihak polis melalui konsep “community policing”, termasuk kepentingan memanfaatkan saluran rasmi PDRM dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan.
Turut hadir, Timbalan Ketua
Polis KL, DCP Dato’ Mohd Azani Omar, Ketua
Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Mohamad Lazim Ismail, Pengerusi Surau Jumaat Al Syakirin, Ustaz Rosidi Mansoor, ahli kariah dan para jemaah sekitar Keramat Wangsa serta pelajar-pelajar tahfiz.