Alor Setar, 28 Januari 2026 – Mengenang titik mula perjalanan hidup di alam persekolahan, Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay kembali menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al-Bukhary, sekali gus mengimbau kenangan yang pernah membentuk jati diri serta kepimpinan beliau hari ini.
Kehadiran beliau bagi menjayakan Program Back to School bertemakan “Inspirasi Alumni: Dari Sekolah ke Puncak Kepimpinan”, yang menjadi platform perkongsian pengalaman serta suntikan motivasi kepada warga sekolah, khususnya para pelajar agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Berucap di hadapan barisan pentadbir sekolah, guru-guru dan pelajar, Tan Sri Ayob Khan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga pendidik yang telah memainkan peranan besar dalam membentuk sahsiah serta nilai kepimpinan beliau sehingga mampu menggalas amanah di peringkat tertinggi Polis Diraja Malaysia.
“Sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah merupakan medan pembentukan karakter, disiplin dan nilai kehidupan. Kejayaan yang dikecapi hari ini tidak mungkin tercapai tanpa bimbingan guru-guru yang mendidik dengan penuh kesabaran dan keikhlasan,” ujar beliau.
Beliau turut menzahirkan harapan agar para pelajar sentiasa menghargai jasa ibu bapa dengan guru, selain menanam azam untuk menjadi insan berilmu, berintegriti serta mampu memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan negara.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan perasmian Pelancaran Alumni SMK Syed Mohamed Al-Bukhary oleh Tan Sri Ayob Khan, diikuti penyampaian sumbangan beg sekolah kepada pelajar terpilih, penyerahan poster infografik anti buli serta sesi beramah mesra bersama warga sekolah.
Sebelum majlis berakhir, Tan Sri Ayob Khan berkesempatan mengadakan lawatan sekitar kawasan sekolah sekali gus mengimbau kenangan indah ketika menimba ilmu di sekolah berkenaan.
Hadir sama, Ketua
Polis Kedah, CP Datuk Adzli Abu Shah, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Encik Azhari Abdul Rashid, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Setar, Encik Ahmadi Abdullah, Pengetua SMK Syed Mohamed Al-Bukhary, Encik Shamsulbadri Ishak, barisan alumni serta ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Syed Mohamed Al-Bukhary.