Kuala Lumpur, 12 Februari 2026–Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini menghadiri Ceramah Perdana Sempena Ambang Ramadan 1447H/2026M yang berlangsung di Dewan Solat Utama,
Masjid Bukit Aman, di sini.
Program anjuran Masjid Bukit Aman itu menjadi wadah pengukuhan rohani warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membuat persediaan menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan, di samping menyemai nilai perpaduan dan budaya saling mengingatkan dalam kalangan warga Pasukan.
Beliau yang hadir bersama isteri, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) Malaysia, Datin Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose serta lebih 250 warga kerja Bukit Aman mengikuti ceramah bertajuk“Andai Ini Ramadan Terakhir" yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd., Datuk Dr. Hj. Zahazan Mohamed.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah dan bacaan Surah Yasin yang dipimpin oleh imam jemputan, Al-Fadhil Ustaz Muhammad Ahmad Zahid sebagai tanda kesyukuran serta memohon keberkatan program yang diadakan.
Pengisian ceramah menekankan kepentingan muhasabah diri, meningkatkan amal ibadah serta memperbaiki hubungan sesama insan dengan kesedaran bahawa setiap Ramadan perlu dimanfaatkan sebaiknya seolah-olah ia adalah yang terakhir.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), CP Dato' Hamzah Hj. Ahmad bersama isteri Datin Hjh. Sulastri Fethihana Swanto merangkap Pengerusi PERKEP JIPS, Pengarah Pengurusan, CP Dato' Sri Abdul Aziz Abdul Majid, barisan Timbalan Pengarah PDRM dan pegawai kanan PDRM serta ahli-ahli PERKEP.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery dan Lans Koperal Bryanlie Mustin