Serian, 13 Februari 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay meneruskan hari keempat lawatan kerja rasmi di Sarawak dengan melaksanakan tinjauan menyeluruh di beberapa pos keselamatan sempadan utama bagi menilai tahap kesiapsiagaan pasukan serta keperluan operasi di lapangan, di sini, semalam.
Lawatan dimulakan di Pos Jawatankuasa Perancang Gerakan Op Taring Awan Bunan Gega. Beliau telah menerima taklimat operasi menerusi sesi“walking briefing" yang disampaikan oleh Ketua Kompeni Komander
Batalion 23 Briged Sarawak,
Pasukan Gerakan Am (PGA),
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), ASP Paul Marcos Anak Aeron. Taklimat tersebut merangkumi sejarah penempatan pos, skop penugasan, kekuatan anggota serta keluasan dan sempadan kawasan tanggungjawab di Platak Bunan Gega.
Beliau kemudiannya dibawa ke Forward Operation Base (FOB) Op Taring Batas Mongkos dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu yang merupakan salah satu pintu masuk utama Malaysia–Indonesia.
Tan Sri Ayob Khan mengakhiri lawatannya dengan meninjau Pos Op Taring Batas Sibakar, Padawan di mana beliau telah ditaklimatkan mengenai situasi keselamatan semasa serta keperluan pertahanan di kawasan tersebut.
Lawatan menyeluruh yang dilakukan mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia dalam memperkukuh kawalan dan keselamatan sempadan negara, di samping memastikan setiap penugasan di kawasan strategik dilaksanakan secara berkesan, profesional dan berdaya tahan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pesuruhjaya
Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Hj. Abdullah, Komander
Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Pai dan Ketua Jabatan KDNKA Kontinjen Sarawak, SAC Ku Mashariman Ku Mahmood.