Shah Alam, 19 Februari 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dalam operasi berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan nilai rampasan keseluruhan RM21 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato’ Hussein Omar Khan berkata dalam Ops Tapis pada 12 Feb lepas, JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam menahan dua lelaki dan seorang wanita masing-masing warga Indonesia berusia antara 26 hingga 53 tahun di sekitar Sekinchan.
“Serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Sungai Leman, Sekinchan, membawa kepada penahanan tiga suspek serta rampasan 11.36 gram methamphetamine dengan dua daripada suspek didapati positif Methamphetamine.
“Serbuan kedua ke atas sebuah bot tanpa nombor di jeti ikan Sekinchan dan merampas 158.6 kilogram (kg) Methamphetamine, 10.89 kg Ekstasi dan 2,000 kartrij berisi MDMA seberat lima kg, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM12.6 juta,” katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.