Bentong, 4 Mac 2026 - Sebanyak 1.7 juta rakyat Malaysia telah mendaftar menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan
Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman menyasarkan angka itu terus meningkat bagi memperkukuh usaha pencegahan jenayah.
Pengarah JPJKK, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri berkata, peningkatan penggunaan aplikasi yang dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia itu amat penting kerana ia memberi banyak manfaat dari segi pemantauan serta meringgankan tugas semua pihak.
Beliau berkata peranan aplikasi itu menjadi lebih ketara menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri apabila ramai pulang ke kampung dan meninggalkan rumah tidak berpenghuni.
"Aplikasi VSP memudahkan orang awam menyalurkan maklumat terus kepada pihak polis tanpa perlu hadir ke balai atau menghubungi bilik gerakan.
"Setakat ini, 1.7 juta orang telah mendaftar di seluruh negara. Kita mahu angka ini terus bertambah kerana lebih ramai menggunakan VSP, lebih berkesan rondaan dan pemantauan dapat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Ramadan JPJKK di sini hari ini.