Menu

27 TAHUN MENGECAP KECEMERLANGAN, MAKTAB PDRM KL TERAJUI KEPOLISAN MASA HADAPAN

Cheras, 9 Mac 2026 - Pencapaian cemerlang 27 tahun penubuhan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur (KL) terus berdiri megah dengan visi untuk menjadi institusi pembelajaran unggul bertaraf dunia, didukung oleh misi utuh yang menawarkan pengajaran serta persekitaran pembelajaran secara berterusan dalam menerajui kepolisan masa hadapan.

Program Semarak MADANI Ketua Polis Negara (KPN) Bersama Warga Maktab PDRM KL itu telah disempurnakan oleh KPN, IG Dato' Sri Hj. Mohd. Khalid Hj. Ismail bertempat di Dewan Sultan Hj. Ahmad Shah, Maktab PDRM KL, di sini petang tadi.

Majlis anjuran Maktab PDRM KL itu merupakan wadah penyatuan ukhuwah, iltizam dan penataan hala tuju Pasukan PDRM dalam mendepani cabaran masa kini.

Dalam ucapan Dato' Sri Hj. Mohd Khalid menzahirkan ucapan tahniah kepada Komandan dan warga Maktab PDRM KL atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan. Beliau berharap program tersebut dijadikan sebagai titik permulaan kepada gerakan transformasi yang lebih besar, strategik serta menyeluruh demi kecemerlangan PDRM yang berterusan.

"Inisiatif cemerlang yang dipamerkan Maktab PDRM KL pada hari ini bukan sekadar manifestasi teknologi semata-mata, tetapi isyarat jelas bahawa PDRM sedang melangkah ke fasa transformasi yang lebih berani, terancang dan strategik. Sesungguhnya, usaha ini amatlah selari dengan Fokus Utama KPN iaitu Transformasi Ke Arah Kepolisan Yang Dipacu Teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI).

"Dalam konteks ini, Maktab PDRM KL telah menunjukkan tindakan proaktif untuk beradaptasi ke arah AI. Adaptasi ini bukanlah satu pilihan, tetapi satu kemestian bagi PDRM untuk kekal relevan dan efektif dalam landskap era digital yang sentiasa berkembang serta mencabar.

"Saya menyambut baik usaha Maktab PDRM KL membangunkan 20 sistem berteraskan AI secara 'in-house'. Pendekatan ini mencerminkan kematangan organisasi kita, sekali gus membuktikan kemampuan PDRM untuk membina keupayaan dalaman yang mampan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak luar.

"Besarlah harapan saya agar PDRM terus dilihat sebagai pasukan yang moden, cekap dan berintegriti tinggi. Kita bukan sahaja perlu digeruni oleh penjenayah, bahkan lebih penting lagi kita harus sentiasa meyakinkan masyarakat," ujar beliau lagi.

Majlis turut menampilkan montaj khas mengenai inisiatif pendigitalan dan 20 Aplikasi AI Maktab PDRM KL yang telah dibangunkan antaranya Sistem Sentuhan Salam KPN, Sistem Pintar AMRA, Sistem Pengurusan Insiden Bencana, Sistem AI Pengurusan Fail Pejabat, Translator 135 Bahasa Dunia dan Sistem Pemantauan Media Sosial oleh KIK dato md daud.

Seusai itu, berlangsungnya Pelancaran Buku Maktab PDRM KL: Peneraju Pendidikan Kepolisan dan Buku "AI Transformation Tool Kit": Model Kecerdasan Buatan Maktab PDRM KL.

Dalam majlis yang diadakan, Dato' Sri Hj. Mohd Khalid turut berkesempatan mengadakan lawatan ke Pameran Aplikasi AI yang berlangsung di Lobi, Maktab PDRM KL.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan, CP Dato' Sri Abdul Aziz Abdul Majid, Komandan Maktab PDRM KL, DCP Dr. Che Ghazalie Che Awang, barisan Timbalan Pengarah PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Abd Rahman Kassim dan warga kerja Maktab PDRM KL.

Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Basri dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.

May be an image of text

May be an image of text

May be an image of text

May be an image of dais and text

May be an image of text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS