Kuala Lumpur, 10 Mac 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay memenuhi undangan ke Majlis Bacaan Doa Selamat dan Berbuka Puasa bersama Pelajar
Darul Kifayah serta
Pondok Moden Al-'Abaqirah yang berlangsung di Dewan Al-Qaradhawi, Kompleks Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis Fasa II, Batu Caves di sini, semalam.
Majlis yang dihadiri lebih 200 tetamu itu merupakan sebahagian daripada Program Sumbangan Khidmat Masyarakat tajaan Yayasan Hasani, sebagai usaha menyemai ukhuwah, memupuk kasih sayang dalam masyarakat serta menceriakan para pelajar menjelang Aidilfitri.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan doa selamat. Seusai itu, Tan Sri Ayob Khan turut berbesar hati menyampaikan ceramah nasihat serta kata-kata motivasi kepada para pelajar, di samping menyampaikan sumbangan Hari Raya sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada mereka.
Program diteruskan dengan acara berbuka puasa sebelum para hadirin menunaikan solat fardu Maghrib dan solat hajat berjemaah, sekali gus menyempurnakan majlis yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan bermakna.
Turut hadir, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Insan,
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Puan Farizah Kamaruddin, Pengerusi Yayasan Hasani, Tuan Hj. Farook Hassan dan Pengetua Darul Kifayah MAIWP, Encik Mohd Hasnizan Hasin.