Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
Segala puji dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana telah mengurniakan nikmat serta keizinan, kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk menyambut Peringatan Hari Polis 219 pada tahun ini. Sambutan ini adalah manifestasi penghargaan kepada sebuah institusi yang telah sekian lama berdiri teguh sebagai tonggak keselamatan dan kesejahteraan negara.
Berpegang dengan pendekatan keselamatan masyarakat adalah core business PDRM, Pasukan akan terus memperkukuh hubungan dengan “stake holders” bagi mengekalkan keyakinan terhadap keupayaan Pasukan keramat ini.
Justeru itu, “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” terus diangkat sebagai tema sambutan, sejak ia diperkenalkan pada tahun 2015. Tema ini menepati intipati hubungan simbiotik antara PDRM dengan masyarakat, dalam memelihara ekosistem kehidupan yang lebih aman dan sentosa.
Bermula dari era penjajahan sehinggalah ke era digitalisasi ini, terlalu banyak ranjau dan dugaan yang telah ditempuh oleh warga PDRM, dalam mengekalkan fungsi serta peranannya sebagai Pasukan penguat kuasa undang-undang utama negara. Kemampuan PDRM sentiasa ditagih untuk memberikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan efisien.
Kredibiliti dan akauntabiliti pastinya menjadi “focal point” masyarakat untuk menilai setiap tindakan dan keputusan PDRM, dalam menangani sesuatu isu mahupun kes. Kelantangan masyarakat mempersoalkan kredibiliti dan keupayaan PDRM sejak akhir-akhir ini, diyakini berpunca daripada rasa tidak puas hati dan provokasi yang sengaja diwujudkan oleh sesetengah pihak.
Sebagai sebuah Pasukan keselamatan yang matang, kita tidak sesekali bertindak mengikut desakan dan persepsi masyarakat, khususnya kepada mana-mana pihak berkepentingan. Setiap keputusan yang dibuat adalah berteraskan prinsip integriti dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa serta mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.
Oleh itu, PDRM dengan tegas menolak sebarang KOMPROMI yang boleh mencalarkan imej Pasukan serta mengurangkan keyakinan masyarakat, terhadap institusi keselamatan yang menjunjung kedaulatan Raja dan Negara, serta mendukung aspirasi Kerajaan MADANI ini.
Berpaksikan Tiga Fokus Utama Ketua Polis Negara berserta Tujuh Hala Tuju dan 10 Agenda Transformasi PDRM, seluruh warga Sang Saka Biru akan terus memperbaharui tekad, untuk melonjakkan lagi keupayaan PDRM sebagai sebuah pasukan yang profesional, cekap, dan disegani. Pendekatan yang terangkum dalam ketiga-tiga prakarsa ini, adalah pelan strategik yang konstruktif bagi menempuh cabaran keselamatan yang semakin rencam dan kompleks.
Sempena sambutan peringatan kali ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Pasukan daripada kepimpinan tertinggi sehingga ke barisan hadapan, termasuklah para pesara PDRM atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini. Manakala kepada wira-wira negara yang telah gugur di medan bakti, saya mendoakan agar roh-roh mereka sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang mukmin dan beramal soleh.
Akhir kata, marilah kita sama-sama mengangkat doa agar PDRM terus teguh dan istiqamah dalam melaksanakan amanah yang digalas. Semoga, bumi Malaysia sentiasa dirahmati dengan keamanan dan kesejahteraan yang berpanjangan serta dilimpahkan dengan keberkatan atas segala usaha kita bersama.
Selamat Menyambut Hari Polis 219 Tahun 2026
“Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.”
IG DATO’ SRI HJ. MOHD KHALID BIN HJ. ISMAIL
Ketua Polis Negara