Kuala Lumpur, 27 Mac 2026 – Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan tradisi penuh makna dengan menganjurkan Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan warga Sang Saka Biru dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara.
Majlis yang dihadiri Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dan Timbalan KPN, DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay bersama barisan pucuk pimpinan PDRM turut disertai oleh Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan mencerminkan kesatuan dan kebersamaan dalam memperkukuh nilai spiritual serta integriti dalam Pasukan.
Program keagamaan anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang diterajui pengarahnya, CP Dato’ Aida Abdul Hamid dengan kerjasama
Masjid Bukit Aman itu turut menjadi platform memperkukuh ukhuwah serta mengeratkan jalinan silaturahim antara barisan kepimpinan dan seluruh warga Pasukan.
Ia dimulakan dengan bacaan yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh DSP Muhammad Ridhuwan Zaini, DSP Kaunseling Kerjaya, JIPS dan doa selamat dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Bukit Aman, Ustaz Wan Mohamad Amzar Fitri Wan Azlan.
Seusai itu, para tetamu jemputan bersama para hadirin menunaikan solat Jumaat yang dipimpin oleh ASP Kesejahteraan Organisasi,
Bahagian Agama & Kaunseling (BAKA), JIPS Bukit Aman merangkap Imam Masjid Bukit Aman, ASP Muhammad Khudri Sulaiman.
Para hadirin turut mendengar khutbah solat Jumaat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah (BAKA) JIPS Bukit Aman, DCP Datuk Azhan Abdul Halim yang juga Pengerusi Masjid Bukit Aman, bertajuk “Kembali Kepada Fitrah, Demi Keamanan Ummah”.
Khutbah tersebut antara lain menekankan bahawa hakikat sambutan hari raya adalah untuk kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah, mengakui keesaan-Nya serta memperbaharui azam dalam mentaati setiap perintah-Nya demi kesejahteraan ummah.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan)
Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dato' Dr. Sirajuddin Suhaimee, Komisioner Jeneral
Penjara, Dato' Hj. Abdul Aziz Abdul Razak, barisan Pengarah PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Abdul Rahman Kassim bersama bekas pucuk pimpinan Pasukan, warga kerja Bukit Aman dan para ahli kariah.