Menu

TIMBALAN KPN BERSAMA PUCUK PIMPINAN PDRM HADIR PERHIMPUNAN BULANAN KDN

Putrajaya, 13 April 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama barisan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi bulan April 2026 yang berlangsung di Auditorium, Kompleks Setia Perkasa, di sini pagi tadi.

Perhimpunan anjuran bersama Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) itu telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Perhimpunan kali ini membawa tema “Nilai Murni Diwarisi, Membugar Insani” yang menekankan kepentingan pembudayaan nilai integriti, akauntabiliti serta kecemerlangan perkhidmatan awam dalam mendepani cabaran semasa.

Dalam majlis yang sama, Tan Sri Ayob Khan telah mengiringi Datuk Seri Saifuddin bagi menyempurnakan Peluncuran Pelan Strategik Artificial Intelligence (AI) KDN, selaras dengan usaha memperkasakan transformasi digital dan inovasi teknologi dalam sistem penyampaian perkhidmatan kementerian.

Majlis turut menyaksikan Penyampaian Sijil Inisiatif Pembangunan Nilai-Nilai (H.E.M.A.T) kepada Bahagian Perancangan Strategik KDN sebagai pengiktirafan atas kejayaan membangunkan Sistem Parlimen@MOHA, sekali gus menghargai pelaksanaan inisiatif kecekapan dan pengurusan sumber secara berhemah.

Majlis diakhiri dengan Peluncuran Portal Rasmi IPCC yang menjadi platform penting dalam memperkukuh ketelusan serta akauntabiliti terhadap pengurusan tatakelakuan pasukan polis.

Turut hadir, Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Dato' Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman dan Pengerusi IPCC, Datuk Zolkopli Dahalan.

Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Khairunisa Ibrahim

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS