Shah Alam, 14 April 2026 - Dadah jenis Syabu dan Bunga Ganja dengan berat keseluruhan berjumlah 82 kilogram bernilai RM5.4 juta dirampas polis dalam pelbagai siri serbuan dan pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Kesemua dadah tersebut ditemukan dalam lima bagasi pada 30 Mac hingga 8 April lalu membabitkan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita.
Ketua Polis Selangor, CP Dato' Pahlawan Shazeli Dato' Kahar berkata, seorang lagi suspek iaitu wanita berusia 33 tahun sedang dikesan polis selepas dia menyedari bagasinya yang mengandungi 23 bungkusan plastik Syabu seberat 24.5 kilogram (kg) dikesan polis bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad.
Katanya, kesemua dadah dan tangkapan dibuat melibatkan tiga kes berasingan yang membabitkan penghantaran dadah ke luar dan dalam negara termasuk di bahagian Malaysia timur.
"Dua daripada tiga kes membabitkan pengedaran Syabu ke pasaran tempatan masing-masing seberat 24.5 kg pada 30 Mac dan 12.5 kg pada 5 April lalu. Kes pertama pemilik bagasi bertindak melarikan diri dan tidak menaiki penerbangan.
"Suspek adalah ialah Nurul Syazwani Farhana Dron berusia 33 tahun yang beralamat di Kampung Tudan Lutong di Miri, Sarawak.
"Bagi kes kedua pula, polis menahan seorang wanita bersama bagasi ketika berada di kawasan parkir sebuah pusat beli belah sekitar KLIA. Ujian saringan terhadap suspek didapati negatif dan tidak mempunyai rekod lampau," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia seperti di lampiran.