Kuala Lumpur, 16 April 2026 - Miliki selera aneh terhadap hidangan eksotik membabitkan pelbagai daging haiwan liar yang dijerat atau diburu secara haram di dalam hutan.
Itu antara ‘minat' segelintir individu yang dikesan melakukan kegiatan pemburuan haram serta dipercayai menjual pelbagai daging haiwan liar dilindungi antaranya keluang, tenggiling, musang, beruang, burung hantu, labi-labi dan babi hutan.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya membongkar beberapa kegiatan pengumpulan dan penyimpanan pelbagai daging hidupan liar secara haram di Perak dan Pahang.
Menurutnya, dalam serbuan pertama, Unit Jenayah Hidupan Liar PERHILITAN melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah premis di Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang, Perak, jam 11.00 pagi kelmarin.
Sementara itu dalam serbuan ke dua, sepasukan lapan anggota PERHILITAN bersama Batalion 1 Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta melakukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Taman Kekal Pertanian Moden Lanchang, Temerloh, Pahang.
"Dalam serbuan jam 1.00 petang kelmarin, lima warga Myanmar ditahan selepas didapati memiliki pelbagai bahagian hidupan liar serta spesies burung dilindungi.
"Suspek yang ditahan membabitkan empat lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berusia antara 21 hingga 47 tahun.
"Hasil pemeriksaan di lokasi menemui paha dan ketulan daging yang disyaki babi hutan disimpan di dalam guni beras.
"Pasukan serbuan turut merampas 20 burung pelbagai spesies antaranya Kelicap, Pipit, dan White-Throated selain seekor Tupai Pinang," katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan
Harian Metro seperti di lampiran.