Singapura, 29 April 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Singapura selama dua hari, bermula 28 hingga 29 April 2026, dalam usaha memperkukuh kerjasama keselamatan serantau serta hubungan strategik antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara.
Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid mengadakan lawatan kerja ke Pusat Anti Penipuan Pasukan Polis Singapura (SPF) dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPF, khususnya dalam menangani jenayah penipuan yang semakin kompleks serta merentas sempadan, di sini hari ini.
Sepanjang lawatan, beliau telah diberikan taklimat oleh Assistant Commissioner of Police, Assistant Director of Anti Scam Centre, Mrs. Aileen Yap berhubung operasi dan fungsi pusat berkenaan, termasuk pendekatan terkini dalam pengesanan, pencegahan serta tindakan pantas terhadap kes penipuan dalam talian, di samping didedahkan kepada penggunaan teknologi dan kaedah analitik yang diguna pakai oleh SPF dalam membanteras sindiket penipuan.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Commissioner of SPF, Mr. How Kwang Hwee sebelum dibawa ke Pusat Anti Penipuan SPF bagi sesi kunjungan hormat.
Dalam rangka lawatan itu, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid menyampaikan ucaptama yang menekankan kepentingan kolaborasi rentas negara, perkongsian maklumat risikan serta penyelarasan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah penipuan dengan lebih berkesan. Lawatan ini juga membuka ruang perbincangan dua hala dalam mempertingkatkan keupayaan operasi serta memperkasa mekanisme tindak balas pantas terhadap kes penipuan yang melibatkan mangsa di kedua-dua negara.
Terdahulu, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid bersama delegasi PDRM telah menghadiri Pameran Milipol TechX 2026 yang berlangsung di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands. Kehadiran mereka bagi meninjau inovasi teknologi keselamatan terkini, di samping menjadi platform strategik dalam memperluas jaringan kerjasama serta pertukaran kepakaran di peringkat Asia Pasifik.
Majlis perasmian pameran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negara Singapura, Tuan
K Shanmugam. Delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan ke beberapa reruai pameran utama, termasuk Nippon Electric Company Asia Pacific dan menyaksikan demonstrasi sistem identiti digital dan teknologi sempadan pintar.
Sempena lawatan rasmi yang diadakan, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid bersama Pengarah
Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid serta Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Redzuan Abd Hamid, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Commissioner of SPF, Mr. How Kwang Hwee.
Lawatan ini membuka ruang perbincangan dua hala bagi mempertingkatkan keupayaan operasi dan memperkasa tindak balas pantas kes penipuan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat daripada ancaman jenayah komersil.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, DCP Datuk Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, ACP Perhubungan Antarabangsa, Urus Setia KPN Bukit Aman, ACP Loh Pey Pey, Ketua Penolong Pengarah National Scam Response Center, ACP Madhavan Nair Unnikrishnan dan Superintenden E-Learning, Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Superintenden Annasmahyudin Abdul Wahab.